NOVEMBER 2023

RUU Ombudsman Sarawak 2023 Lulus


KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Ombudsman Sarawak 2023 selepas bacaan kali ketiga, hari ini.

RUU tersebut yang dibentangkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan petang tadi dibahaskan oleh 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Awang Tengah ketika membentangkan RUU itu berkata, ia akan membolehkan orang awam melaporkan salah guna kuasa oleh agensi perkhidmatan awam Sarawak dengan lebih telus.

Selain itu, RUU berkenaan juga memberi kuasa penyiasatan meluas, termasuk membenarkan saksi memberikan maklumat, mengeluarkan dokumen, penangkapan dan menjalankan siasatan dan serbuan.

Sementara itu, dalam sidang media selepas pembentangan RUU tersebut, Awang tengah berkata semua penjawat awam di Sarawak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah terikat dengan RUU berkenaan.

”Kita sudah mengkaji hampir keseluruhan dengan melawat ke Sweden dan Finland tetapi undang-undang amalan ombudsman di negara-negara lain, kita telah kaji keseluruhannya dan mungkin juga akan timbul persoalan mengapa kita mengehadkan ia kepada empat golongan yang dinyatakan tadi sebab kita dapati ini adalah pihak utama yang akan membantu melonjakkan kemajuan negeri Sarawak.

”Pihak kerajaan berkeyakinan bahawa penjawat awam yang dinyatakan tadi adalah agen utama untuk membawa penbangunan di Sarawak. Ini juga bukti Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat terbuka menerima kritikan yang membina daripada rakyat termasuk jentera-jentera kerajaan sendiri,” katanya.

Menjelas lanjut berkenaan isu pengecualian itu, Awang Tengah berkata rujukan dibuat berdasarkan tujuh RUU Ombudsman di  Sweden, Norway, New Zealand, Kanada, Hong Kong, New South Wales (Australia) dan Filipina.

Ahli Yang Berhormat membahas RUU itu ialah Beting Maro, Bukit Assek, Tellian, Katibas, Baleh, Padungan,Tanjung Batu, Kabong, Ba’Kelalan, Opar, Lingga, Daro, Tamin, Murum, Maradong, Repok, Kota Sentosa, Batu Kitang, Tupong, Bukit Semuja, Ngemah dan Engkilili.

Sumber dari : Jiwa Bakti